Peluang pekerjaan di Sabah habis di sapu Warga Asing? Ini persoalan yang begitu sinonim di kalangan masyarakat hari ini yang sentiasa di bahaskan di bincangkan. Bukan sahaja di kedai kopi, namun di Aplikasi Whatsapp juga medium yang hangat membincangkan isu ini. Kali ini IKKB.blogspot ingin berkongsi satu dapatan kajian Akedemik dan kami juga telah mendapatkan kebenaran daripada beliau untuk menulis semula dapatan kajian yang telah dibuat oleh beliau. Artikel ini telah ditulis oleh beliau pada tahun 2008 yang lalu, namun apa yang menarik mengenai artikel ini adalah, masalah peluang pekerjaan dan kebanjiran warga asing di Sabah khususnya, masih lagi satu masalah yang tidak hilang daripada perhatian masyarakat di Sabah. Maka oleh itulah kami menulis semula dapatan ini, kerana terdapat banyak input yang harus kita sama-sama manfaatkan dan ia juga boleh di jadikan sebagai satu rujukan bagi kita untuk berhadapan dengan masalah dalaman seperti ini.
Dr.Asri Salleh adalah seorang pensyarah daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi yang mempunyai kepakaran dalam Bidang "International Relation", beliau juga telah memperolehi kelayakan akedemik di peringkat "PHD" yang membawa gelaran Doktor Falsafah.
Berikut adalah dapatan kajian beliau :
Kebanjiran
Orang Asing Dan Peluang Pekerjaan
Di
Kota Kinabalu, Sabah, bukanlah luar biasa melihat kebanjiran orang asing
terutama
pendatang
Filipina di segenap bandar. Dari yang kecil hingga dewasa, mereka berniaga,
berkerja dan berurusan seperti KK adalah bandar Zamboanga, Filipina iaitu
bandar asal kebanyakan pendatang Filipina ini. Selalu juga diperhatikan mereka
yang telah dtangkap dan diusir pulang akan kembali semula sepantas kilat. Boleh
dirumuskan bahawa mereka ini sanggup merempuh risiko kehilangan nyawa datang ke
Malaysia daripada menghadapi kemiskinan dan kebuluran di kampung sendiri.
Sungguh
mereka ini bersemangat waja. Sungguh Malaysia harum di hati mereka. Orang asing
di Malaysia boleh dibahagi kepada 2 kategori utama; (1) kategori pertama; ekspatriat,
pelancong, pelawat dan penduduk tetap yang memilih Malaysia sebagai rumah kedua
(Program Rumah Kedua Malaysia) dan (2) kategori kedua; buruh asing dan
pendatang haram atau PATI. Untuk kategori pertama, kehadiran orang asing ini
amat dialu-alukan. Untuk kategori kedua, kelebihan kehadiran mereka ini yang
menjadi masalah dan sangat tidak dialu-alukan.
Justeru timbul persoalan; benarkah mereka
telah merampas peluang pekerjaan warga tempatan? Atau benarkah warga tempatan sendiri
yang memberikan peluang pekerjaan terbabit kepada warga asing tersebut? Atau
apakah mungkin masalah orang asing dan peluang pekerjaan warga tempatan yang
semakin kurang merupakan isu yang sengaja diperbesar-besarkan?
Menurut
laporan tahunan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) tahun 2007, kadar
pengangguran di Malaysia kekal berada pada tahap 3.5% (2006) daripada 11.5 juta
tenaga kerja yang tersedia di Malaysia. Jumlah guna tenaga kerja pula berjumlah
11.1 juta. Justeru hanya 3.5% (lebih kurang 380,000 orang) daripada 11.5 juta
tenaga kerja ini yang menganggur. Walaupun jumlah tenaga kerja dan guna tenaga
kerja masing-masing menunjukkan peningkatan dalam 200,000 – 400,000 sepanjang
tahun yang dibuat kajian, kadar pengangguran kekal untuk empat tahun
berturut-turut i.e. 3.5 % untuk 2004-2007. Jumlah jawatan kosong baru untuk
tahun 2006 pula dianggarkan berjumlah 834,675 iaitu lebih 200% daripada sumber
tenaga kerja yang ada. Jika sekalipun semua 3.5% penganggur di Malaysia itu
berkerja, masih ada lagi dalam 400,000 jawatan yang kosong di mana 42%
kekosongan terdapat dalam sektor perkilangan.
Laporan
MIER, antara lain, menunjukkan bahawa Malaysia tidak sepatutnya menghadapi masalah
pengangguran. Secara logik, ada banyak peluang kerja yang tersedia untuk semua
rakyat Malaysia. Namun atas beberapa sebab tertentu, masih juga ada warga
tempatan yang menganggur. Oleh itu, artikel ini ingin mengupas isu peluang
pekerjaan warga tempatan yang diambil alih oleh kebanjiran orang asing kategori
kedua melalui kriteria kelayakan, sikap, kadar upah dan jumlah pekerja asing.
Kelayakan
Laporan
MIER menyebut majoriti pekerja asing yang dikategorikan sebagai pekerja separuh
mahir dan tidak mahir berkerja dalam sektor perkilangan dan pertanian.
Sebahagian besar ekspatriat pula berkerja dalam sektor perkhidmatan dan
selebihnya dalam sektor perkilangan. Setakat bulan September 2006, Jabatan
Perangkaan Malaysia menunjukkan terdapat 66,900 (diploma dan ijazah) yang
menganggur, yang bersamaan dengan kira-kira 4% daripada tenaga kerja siswazah
atau 20% daripada jumlah pekerja yang menganggur.
Antara faktor utama siswazah menganggur ialah;
(1) kekurangan pengalaman kerja, (2) kekurangan kemahiran berkomunikasi dan IT
dan (3) kelulusan dalam bidang yang kurang permintaan. Laporan MIER ini jelas
menunjukkan bahawa permintaan untuk tenaga kerja di negara ini melebihi tawaran
tenaga kerja yang tersedia. Ini secara langsung menyediakan peluang kepada tenaga
kerja yang ada untuk bertukar kerja dan lokasi mereka pada bila-bila masa.
Kadar
pusingan masuk dan keluar pekerja ini (workers’ turn-over) juga turut
meningkat. Namun, pada masa sama, kadar pusingan ini adalah sesuatu yang tidak
sihat terutama sekali dalam sektor kritikal seperti perkilangan dan pertanian. Memang
diketahui umum bahawa kebanyakan tenaga kerja warga asing ini tidak mempunyai kelayakan,
kemahiran dan syarat pendidikan yang sewajarnya. Tidak perlu dilihat jauh. Bandingkan
sahaja kadar literasi Malaysia yang hampir 98% berbanding dengan kebanyakan negara
asal pekerja warga asing terbabit seperti Bangladesh, Indonesia, Vietnam,
Pakistan, Filipina dan Myanmar. Negara-negara ini memiliki jumlah penduduk yang
besar yang tidak sepadan dengan pembangunan ekonomi dan peluang kerja yang ada.
Justeru, warga asing ini tidak punya banyak pilihan selain daripada berhijrah.
Miskin
dan tidak berpelajaran, buruh asing ini dikatakan mempunyai sikap dan
tanggungjawab kerja yang komited dan teratur. Kekangan kewangan dan lokasi
kerja mereka yang jauh dari tempat asal secara automatik menyebabkan komitmen
kerja mereka kekal, tinggi dan terjamin. Contohnya, mereka tidak banyak
diganggu soal tentang keadaan dan tanggungjawab keluarga di tempat asal mereka.
Ini
juga menyumbang kepada kurangnya bilangan cuti yang mereka ambil. Berkurangnya
bilangan cuti bermakna bertambahnya kehadiran kerja mereka. Ini juga mendorong
kepada meningkatnya produktiviti dan seterusnya keuntungan majikan. Sektor perkilangan,
terutama sekali, amat bergantung kepada sumber tenaga kerja yang berterusan. Contonhnya,
jadual waktu kerja kilang yang beroperasi 24 jam biasanya dibahagi kepada 3-4 shif.
Setiap kekurangan jumlah pekerja dalam mana-mana shif yang tidak ditampung
segera akan menyebabkan produktiviti dan kelancaran kerja terganggu.
Di
samping itu, kadar pertukaran kerja dan kelayakan warga tempatan yang tinggi
ditambah oleh komitmen dan produktiviti mereka yang turun naik sebenarnya
adalah salah satu punca yang mendorong majikan dan syarikat perniagaan lebih
sanggup mengeluarkan kos permulaan yang tinggi untuk mendapatkan sumber tenaga
kerja asing. Ini sekaligus menjamin kestabilan dan mengurangkan kadar
perberhentian dan kehilangan pekerja. Mendapatkan sumber tenaga buruh daripada
Malaysia Timur juga tidak banyak membantu mengurangkan masalah kadar workers
turn-over dikalangan pekerja tempatan. Ini adalah disebabkan mod
pengangkutan udara yang semakin murah dan mudah di antara Malaysia Barat dan
Timur. Selari dengan kelayakan ramai pekerja tempatan yang tinggi, seolah ada
tren yang menunjukkan mereka ini cenderung memilih pekerjaan yang setaraf
dengan kelayakan mereka. Tren pemadanan kerja dan kelayakan ini telah
mewujudkan kekosongan kerja yang kritikal untuk sektor yang tidak memerlukan
kelayakan tinggi. Justeru, secara asasnya, buruh asing tidak merampas peluang
kerja warga tempatan. Mereka hanya mengambil jawatan yang memang sengaja
dibiarkan kosong.
Sikap
Masalah
sikap pekerja tempatan adalah satu masalah universal. Ia terdapat di mana-mana
sahaja di seluruh dunia. Tidak terkecuali di negara-negara maju seperti seperti
Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun, Kanada dan Jerman. Jika Amerika
dilimpahi buruh asing Hispanic terutama sekali dari negara-negara
Amerika Selatan, Jerman pula dibebani dengan isu tenaga buruh asing dari Turki.
Perkara
sama juga menghantui negara Britain yang menghadapi isu kebanjiran tenaga buruh
asing daripada Asia Selatan dan Asia Tenggara. Sikap buruh tempatan di negara
maju ini yang memilih kerja – sama dengan buruh tempatan di Malaysia – menyediakan
punca yang sama yang menyebabkan masalah kebanjiran tenaga buruh asing di negara
terbabit. Kebanyakan warga tempatan samada yang mempunyai kelayakan tinggi atau
tidak mempunyai sikap yang amat tidak proaktif terhadap pasaran kerja.
Ada
sebilangan warga tempatan lebih sanggup menganggur daripada berkerja di tempat
kerja yang tidak mempunyai penghawa dingin. Ada juga yang sanggup menganggur
bertahun-tahun daripada berkerja menerima gaji yang dianggap rendah dan tidak
berstatus tinggi. Lihat saja ladang-ladang pertanian dan penternakan. Jika
bukan kerana badan seperti Federal Land Development Authority (FELDA)
dikuasai Kerajaan, kemungkinan sekali ladang ini juga dipenuhi warga asing.
Sikap
yang tidak proaktif dan tidak berinisiatif seperti inilah yang menyebabkan
ramai tenaga kerja tempatan yang gagal,sengaja atau tidak, menyamai atau
melebihi komitmen yang ditunjukkan oleh kebanyakan buruh asing. Tambahan pula,
sikap sesetengah warga tempatan yang tidak menunjukkan kesetiaan yang tinggi dan
tidak mahu meningkatkan kemahiran diri untuk faedah majikan turut menyumbang ke
arah kadar mobiliti kerja mereka yang sangat tinggi.
Ada
kes di mana warga tempatan melaporkan diri untuk kerja hanya pada hari pertama
sahaja. Mereka tidak hadir pada hari kedua kerana telah mendapat tawaran yang
lebih baik di tempat lain. Kerumitan proses undang-undang untuk membawa pekerja
tempatan tadi ke muka keadilan mendorong majikan untuk membiarkan sahaja
perkara ini. Sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab ini, berbanding sikap
pekerja asing, mendorong majikan untuk mengurangkan kebergantungan mereka
kepada warga tempatan.
Sikap
tidak suka memajukan diri inilah yang mendorong Kerajaan pada tahun ini, antara
lain, untuk membelanjakan RM100 juta untuk melatih tenaga kerja tempatan
menjadi tenaga mahir. Dana tersebut disalurkan kepada Lembaga Pembangunan
Industri Pembinaan Malaysia. Setiap pelatih akan melalui latihan selama setahun
di enam Akademi Binaan seluruh negara. Kerana sikap tenaga buruh tempatan,
begitu banyak wang dibelanjakan Kerajaan semata-mata untuk memupuk sikap dan
memahirkan skil dan daya saing mereka.
Kadar
Upah
Kelayakan
pendidikan ramai pekerja asing menyebabkan mereka sudi menerima gaji yang rendah
jika dibandingkan dengan apa yang diminta oleh pekerja tempatan. Dari sudut
ekonomi dan akaun syarikat terbabit, ini adalah sesuatu yang sangat positif.
Dari satu segi yang lain pula, ini adalah merupakan sesuatu yang sangat negatif
kepada pasaran tenaga buruh tempatan. Kedudukan pekerja asing yang sememangnya
tidak punya banyak pilihan menyebabkan mereka reda dan rela dengan gaji dan
upah yang mereka terima di Malaysia. Lagipun, bagi kebanyakan mereka ini,
sebenarnya, gaji dan upah yang mereka terima jauh lebih lumayan daripada apa
yang mereka dapat di negara sendiri.
Ini
juga disokong oleh faktor kadar tukaran asing tinggi bagi wang Malaysia jika
dibandingkan dengan nilai matawang negara asal mereka yang rendah. Semua faktor
ini, antara lain, menyebabkan mereka tidak begitu ambil pusing dengan kadar
upah mereka yang murah. Kadar upah yang bakal diterima mereka sebenarnya sudah
diberitahu kepada mereka atau diketahui mereka sebelum mereka membuat keputusan
untuk datang ke Malaysia. Kontrak perkhidmatan dan pekerjaan yang mereka
tandatangani sebelum mula bekerja juga telah menyatakan kadar pergerakan gaji
atau upah mereka untuk satu tempoh yang tertentu.
Konsistennya
pergerakan kadar gaji mereka yang kebanyakannya rendah dan tidak pantas menaik
menyebabkan ramai majikan terpikat dengan tenaga buruh asing ini. Banyak juga
kes di mana pekerja asing ini tidak mengetahui, secara sengaja atau tidak,
membiarkan sahaja majikan mereka “memotong” gaji mereka untuk dibuat potongan
cukai, levi dan sebagainya walau sebenarnya potongan itu tidak dilakukan. Dalam
sebuah rancangan temubual oleh sebuah stesen televisyen Malaysia yang
menemuramah pengawal keselamatan daripada Nepal, pengawal terbabit menyatakan
bahawa gaji yang diterimanya ketika itu adalah jauh lebih tinggi daripada gajinya
sebagai tentera di negaranya.
Jika
ditanyakan kepada tenaga buruh muda tempatan, pasti agak sukar untuk mencari
mereka yang sanggup menerima gaji seorang pengawal keselamatan. Tidak
menghairankan kebanyakan pengawal keselamatan yang ada di Malaysia adalah
daripada golongan berumur dan sudah pencen. Apa yang dilihat sebagai sesuatu
yang lumayan oleh buruh asing sebenarnya dipandang rendah oleh buruh tempatan.
Jumlah
Pekerja Asing
Dianggarkan
ketika ini terdapat lebih kurang 2.2 juta pekerja asing yang berdaftar di
Malaysia. Ada yang menganggarkan jika dicampur tolak dengan mereka yang haram,
jumlahnya dalam julat 4 juta. Di sebalik keadaan pasaran dan bekalan tenaga
buruh yang berubah – ubah mengikut masa dan keadaan ekonomi semasa, tren
bilangan pekerja asing ini tidak pernah menunjukkan angka menurun. Ia nampaknya
sentiasa meningkat. Keperluan negara ini terhadap pekerja asing yang pada
mulanya bersifat sementara tetapi mendesak sejak dua dekad lalu akhirnya telah mendorong
kehadiran pekerja asing tanpa henti ke Malaysia.
Ini
termasuk juga kehadiran PATI. Datuk Rahman Bakar, Timbalan Menteri Sumber
Manusia, menganggarkan bahawa bilangan pendatang asing akan meningkat hampir
lima kali ganda – dari 1.3 juta kepada 5 juta pada tahun 2020 jika negara terus
bergantung kepada sumber tenaga asing. Tanpa memperlekehkan statistik yang
dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan jumlah tenaga buruh asing di
Malaysia, statistik yang dikeluarkan oleh Bursa Buruh Elektronik juga harus
perlu diambil kira.
Mengikut
laporan MIER, bilangan jawatan kosong baru yang dilaporkan menerusi Bursa Buruh
Elektronik (Electronic Labour Exchange – ELX) meningkat dengan ketara pada tahun
2006. Permintaan tenaga kerja meningkat dalam semua sektor utama, terutama
sektor perkilangan (42% peningkatan). Kebanyakan jawatan pekerjaan yang
diiklankan dalam ELX ialah pekerjaan asas (sebanyak 60%), yang lebih sesuai
bagi tenaga kerja separuh dan bukan mahir.
Tidak
salah untuk menafsir bahawa jumlah kekosongan jawatan buruh yang ada dalam ekonomi
Malaysia berkemungkinan besar jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan oleh
ELX. Jumlah pekerja asing sedia ada dan bakal disediakan oleh agensi pekerja
asing yang kekal tinggi jumlahnya menyediakan sumber tenaga kerja yang tidak
putus kepada segala sektor perniagaan Malaysia. Ini menyebabkan tenaga buruh
asing, dengan jumlah mereka yang ramai, tetap terus mendahului tenaga buruh
tempatan dari segi penawaran dan penerimaan kerja. Jumlah tenaga buruh
tempatan, tidak dinafikan, juga meningkat. Namun malangnya ia berada pada tahap
yang tidak selari dengan jumlah buruh asing.
Kesimpulan
Siapa
sebenarnya yang merampas peluang kerja siapa? Jika dianalisa hujah-hujah
diatas, dapat disimpulkan di sini bahawa pada mulanya bekalan tenaga buruh
asing hanya berfungsi sebagai penimbal kepada lompong kekosongan besar kerja
yang tidak dapat dipenuhi oleh tenaga kerja tempatan.
Selari
dengan kadar sara hidup dan pendidikan yang semakin tinggi di kalangan tenaga buruh
tempatan, tuntutan mereka terhadap keadaan persekitaran kerja, upah dan jawatan
juga semakin tinggi. Ini sekaligus mendorong majikan yang kurang mampu untuk
memenuhi permintaan tersebut untuk mengambil tenaga buruh asing. Walaupun kos
permulaannya tinggi, majikan ini percaya bahawa dalam jangka masa panjang,
perniagaan mereka berada dalam situasi yang selamat dan stabil.
Ini
berdasarkan kepada kos buruh yang dapat dikurangkan dapat membantu meningkatkan
lagi keuntungan dan sekaligus pengembangan serta produktiviti syarikat. Sikap
dan kadar upah tenaga buruh asing yang tidak memilih dan tidak banyak karenah menambahkan
lagi daya tarik mereka berbanding tenaga buruh tempatan yang rata-ratanya menunjukkan
komitmen, kesetiaan dan produktiviti yang tidak konsisten. Sudah tentu sebagai warga
tempatan, mereka seharusnya diberi keutamaan dalam penawaran kerja oleh majikan
di Malaysia. Tetapi faktor ini jugalah yang menyebabkan mereka menjadi kurang
menarik.
Peluang
pekerjaan di Malaysia sebenarnya, secara literal dan teknikalnya, tidak
dirampas oleh tenaga buruh asing ini. Secara jujur, tenaga buruh tempatanlah
yang terlebih dahulu secara ikhlas memberikan atau menghadiahkan peluang kerja
yang tersedia kepada tenaga asing ini. Cuma mereka kini baru sedar, bahawa
pintu yang dibiarkan terbuka dulu kini amat sukar untuk ditutup mahupun
dikecilkan bukaannnya. Ia kekal terbuka kerana ia telah terlalu lama dibiarkan
terbuka. Sebenarnya, ia telah lama terbuka rapat.
No comments:
Post a Comment